Salam

Kita dikejutkan lagi dengan tindakan Israel menyerang semula Palestin.Tambah menyedihkan apabila serangan itu mendapat restu dari sekutu utama mereka,Amerika Syarikat.Biarpun menerima kecaman hebat dari rakyatnya sendiri,Barrack Obama tetap dengan pendiriannya.Saban hari penduduk dunia dari pelbagai lapisan masyarakat melakukan perarakan dan demonstrasi membantah serangan tersebut namun sebaliknya yang berlaku.Semalam Israel telah bertindak mengurung sekumpulan rakyat Palestin di dalam sebuah bangunan sebelum mengebom bangunan itu bertalu-talu.

Beberapa hari yang lepas ada pihak yang mencadangkan agar Israel dijatuhkan hukuman sebagai penjenayah perang sama seperti pihak Serbia.Cadangan ini dianggap sangat tepat kerana mereka telah membunuh ribuan rakyat Palestin seperti mana penyembelihan beramai-ramai umat Islam oleh pihak Serbia di Bosnia.Namun begitu cadangan semata-mata tidak akan membawa sebarang makna.Tindakan perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab.Biarpun konflik ini telah menelan nyawa pelbagai pihak sejak ianya bermula namun ia tetap gagal dihentikan.Israel tetap berdiri dengan teguh disokong oleh Amerika Syarikat yang merupakan salah satu kuasa veto dunia.Hanya bila buku bertemu ruas barulah sengketa ini akan berhenti.Tanpa desakan mana-mana satu kuasa veto lain,Israel pasti akan terus mengganas.Dengan Perancis dan Britain berpihak kepada Amerika harapan disandarkan kepada Russia dan China.Kemampuan Russia dalam bidang ketenteraan memang tidak dapat dinafikan dan tekanan yang mereke berikan dijangkakan dapat membantu dalam menghentikan konflik ini.

Sejak beberapa hari yang lalu banyak demonstrasi diadakan dan rakyat negara kita juga tidak ketinggalan.Sesetengah pihak berpendapat demonstrasi semata-mata tidak dapat membantu.Kita ibarat mentimun sedangkan Israel dengan sokongan Amerika seperti durian.Tidak dinafikan setiap pekerjaan harus dimulakan dengan secara kecil-kecilan namun jumlah rakyat ini nyata terlalu kecil dan tidak ubah sepeti sebuah negeri di Amerika.Memburukkan lagi situasi adalah konflik dalaman negara yang tidak lagi selesai membuatkan negara kita kelihatan lebih lemah.Cadangan untuk memboikot produk-produk keluaran syarikat antarabangsa juga tidaklah begitu bernas.Ini kerana kesan buruk dari boikot ini akan kelak menyusahkan rakyat negara ini yang bekerja di restoran-restoran 'fast food' dan kilang-kilang pemprosesan.Ini akan meningkatkan lagi kadar pengangguran dikalangan masyarakat khususnya Melayu yang berpendidikan rendah.

Menunaikan solat hajat memohon perlindungan dari Ilahi merupakan satu langkah yang sangat bijak.Doa-doa dari umat Islam dari serata dunia amatlah diperlukan oleh para pejuang Hamas dan Hizbullah yang cuba mempertahankan bumi Palestin.Usaha mereka disertai dengan doa kita semua InsyALLAH akan membuahkan hasil.Selain dari bantuan kewangan,bantuan perubatan dan makanan juga amatlah diperlukan.Tanpa ubat-ubatan yang mencukupi dan makanan yang bersih,wabak penyakit boleh memburukkan lagi keadaan.

Boleh kita simpulkan bahawa konflik antara Israel dan Palestin memerlukan tindakan yang pantas.Hendak diharapkan negara-negara Islam di Timur Tengah yang kebanyakan disokong oleh pihak Eropah dan Amerika,tidah ubah seperti tindakan anjing menyalak gunung.Kita memerlukan sokongan dari kuasa-kuasa besar dunia yang kuat dari segi ketenteraan.Sebuah negara yang masih melalui proses pembangunan kita boleh menghulurkan bantuan ubat,makanan dan wang.Bagi mereka yang beragama Islam,panjatkan doa kepada Ilahi agar pejuang-pejuang di Palestin beroleh kemenangan.

date Friday, January 9, 2009

0 comments to “Kekejaman Israel”